Tntang Saya

My photo
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia

Sunday 19 August 2012

BOLEHKAH PAS TUMPAS PRU KE 13



Sejak saya menamatkan perkhidmatan dalam profesion perguruan pada ogos 2011, saya berasa sudah tiba masa untuk saya berjinak dengan salah satu bidang yang amat saya minati iaitu menjadi seorang penulis di bidang politik. Saya sekarang mula hendak menulis   tentang isu semasa berkaitan politik yang merupakan bidang pengajian saya semasa  belajar di UKM sejak tahun 1976 hingga 1980.  Politik secara mudah boleh ditakrifkan sebagai satu usaha mendapat kuasa, menggunakan kuasa dan mengekalkan kuasa.

     Semasa belajar di UKM saya memang terlibat secara langsung dalam aktiviti politik kampus. Saya pernah memegang jawatan Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Kelantan ringkasnya PERDANA dan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Sains Politik UKM. Penglibatan dalam aktiviti mahasiswa membawa saya terlibat secara langsung dalam aktiviti berkaitan politik khususnya politik negeri Kelantan yang hingga kini menjadi begitu hangat bila berlaku perebutan kuasa politik di antara UMNO Kelantan Dan PAS. PAS berjaya mendominasi kuasa politik di Kelantan.

    Politik Kelantan amat unik. Ini kerana orang Kelantan sangat prihatin tentang politik. Politik dianggap hidup matinya bangsa Melayu. Rakyat Kelantan  yang majoriti bangsa Melayu amat berpegang teguh kepada agama Islam. Pegangan kepada ideologi politik Islam amat kuat dan menjadi darah daging mereka. Pegangan politik kepada idelogi Islam menjadi sebab utama PAS dapat membina mobilisasi politik rakyat Kelantan dan  berkuasa di Kelantan.  Paling utama sekali ia lah kepimpinan Dato Nik Abdul  Aziz Bin Nik Mat sebagai seorang bertaraf Ulama amat dikagumi oleh rakyat Kelantan.

    Kedudukan PAS di Kelantan sangat teguh.Usaha Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO amat sukar untuk berkuasa di Kelantan.Rakyat Kelantan sentiasa menolak Barisan Nasional (UMNO) dan usaha untuk memenangi hati rakyat Kelantan sangat mengecewakan. Hati nurani rakyat Kelantan memang tidak menerima UMNO dan menolak pemimpin UMNO Kelantan yang dianggap sangat egoistik dan tidak yakin dengan wadah perjuangan Islam dan tidak berminat serta tidak ingin menegakkan Kerajaan Islam.Tidak dinafikan bahawa ramai penyokong UMNO di Kelantan  tetapi kebanyakan nya besifat “musang berbulu ayam”.Mereka menjadi ahli UMNO terutamanya pegawai kerajaan kerana takut teraniaya. Semasa Pilihan Raya mereka tetap memilih Pas.

     Pemimpin UMNO Kelantan tidak dipercayai dan dianggap tidak menghayati gaya hidup sebagai seorang beragama Islam dan Islam bukan  sebagai satu sistem kehidupan mereka. Rakyat Kelantan melebel pemimpin UMNO Kelantan bersifat sekular dan tidak boleh dipercayai . Imej sekular dapat dilihat dari cara berpakaian dan gaya hidup mereka yang suka menonjol kehidupan yang mewah serta pro Barat menyebabkan rakyat Kelantan  tidak menyukai dan berasa jijik dengan gelagat kepimpinan UMNO Kelantan.

    PAS telah berjaya mentarbiyah ahlinya agar berpegang teguh kepada perjuangan Islam dan mengamalkan gaya hidup sederhana serta  menekankan semangat untuk menegakkan Daulah Islamiah di Malaysia.  Semangat mereka amat tinggi dan sanggup bersusah payah demi perjuangan menegak Negara Islam.Mempelopori perjuangan Rasulullah saw. Meskipun Negeri Kelantan dikatakan negeri yang sangat miskin pada kaca mata Barisan Nasional tetapi rakyat Kelantan cukup selesa dengan kehidupan mereka walaupun dikatakan terpaksa hidup ibarat, ” kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Keadaan ini amat berbeza sekali dengan ahli UMNO yang kelihatan hidup mewah pada zahirnya dan mereka tidak menghayati perjuangan asal Partai UMNO yang berslogan tradisi membela rakyat.

     Ahli UMNO amat bergantung kepada bantuan dan sumber kewangan untuk menggerakkan agenda partai. Semangat kesukarelaan tidak ada dalam diri kebanyakan ahli dan pemimpin UMNO Kelantan berbanding dengan ahli dan pemimpin PAS yang sanggup mengeluarkan belanja sendiri demi perjuangan partai. Ahli PAS sanggup “bergadai bergolok” demi menjayakan agenda partai dengan hati yang terbuka. Mereka mengharapkan sumbangan mereka mendapat ganjaran pahala di akhirat. Berjuang menegakkan Negara Islam yang sentiasa diwar-warkan oleh pemimpin PAS. Idelisme itu dianggap retorik oleh pemimpin UMNO Kelantan. Pemimpin UMNO sentiasa menempelak dan  menuduh PAS memperalatkan Islam

    Inilah perbezaan di antara perjuangan PAS dan UMNO. PAS dikatakan berjuang berlandaskan  ideologi Islam untuk menegakkan  syiar Islam dan UMNO berjuang berlandaskan ideologi sekular berdasarkan model Barat dengan mengamal sistem demokrasi ala Westminster.PAS menjadi begitu kuat dan bertenaga sekarang kerana  berjaya mengadun kepimpinan ulama dan kepimpinan sekular dalam mencapai matlamat partai menegakkan kerajaan Islam di Kelantan.

    UMNO Kelantan kelihatan tidak mampu untuk menawan Kelantan dalam PRU ke 13  nanti walaupun pelbagai cara dan tektik untuk memenangi hati rakyat Kelantan diusahakan. Usaha dan tektik UMNO Kelantan tidak dapat menjejakki hati nurani rakyat Kelantan kerana UMNO Kelantan tidak bersedia menjadikan Islam sebagai wadah perjuangan UMNO.

    UMNO telah dianggap menjadi pengkianat perjuangan  orang Melayu.Hak orang Melayu di bidang politik dan ekonomi semakin terhakis.Hak ketuanan Melayu juga terhakis.UMNO kelihatan membela kepentingan kaum bukan Melayu.Kepentingan orang Melayu terabai. Hanya segelintir orang Melayu sahaja yang dapat nikmat dari dasar ekonomi yang dicanang oleh UMNO.Sebahagian besar orang Melayu hidup di bawah ehsan subsidi.Pembangunan ekonomi menjadikan orang Melayu di bandar dan di luar bandar miskin.Pembangunan kemunduran menyelubungi majoriti orang Melayu. Orang Melayu tidak puas hati dan mengalih sokongan kepada PAS yang kelihatan mampu memperjuangkan nasib orang Melayu melalui wadah Islam.

     Pada pemikiran orang Melayu di Kelantan bahawa pemimpin UMNO terbabit dengan rasuah dan penyelewengan dana negara. Orang Melayu berasa jijik dengan gelagat pemimpin UMNO yang sukan menonjol kekayaan.Penyalahgunaan kuasa pemimpin UMNO dianggap berleluasa.Kebencian itu ditunjukkan melalui kertas undi pada PRU ke 12. Meskin pun kemenangan berpihak kepada UMNO di Kelantan tetapi pada akhirnya rakyat Kelantan membuat keputusan di luar jangkauan pemikiran pemimpin UMNO.

     Negeri Kelantan di anggap miskin.Orang Kelantan dikatakan merepat di luar Kelantan.Terpaksa mencari kerja di luar Kelantan dan tidak ada pekerjaan di Kelantan.Pada hakikatnya orang Kelantan di luar Kelantan dapat menyaksikan dengan mata kepala sendiri bagaimana nasib bangsa Melayu bukan rakyat Kelantan di bandar-bandar yang hidup dibelenggu kemiskinan. Berada di rumah setingan dan berpendapatan kurang hanya dalam lingkungan RM 500.00 hingga RM 1500.00. Pendapatan tersebut boleh dianggap di bawah paras kemiskinan di bandar- bandar di luar negeri Kelantan.

     Transfomasi yang dilancarkan oleh Barisan Nasional dikatakan sebagai satu  usaha untuk membeli undi rakyat Kelantan.Transformasi dikatakan transformoney.Bantuan BR1M rm 500.00, Bantuan KWAMP, Bantuan Persekolahan dan Baucer Buku diterima dengan sinis. Rakyat Kelantan yang mendokong perjuangan PAS menganggapkan pemberian”gula-gula” untuk memancing undi PRU ke 13. Bantuan kewangan itu hanya akan dapat menyelesaikan masalah untuk sementara sahaja. Wang itu akan habis sedangkan kehidupan mereka tidak berubah menjadi lebih selesa. Mereka tetap berada dalam kemiskinan. Keadaan ini yang diingini oleh pemimpin UMNO Kelantan agar rakyat Kelantan akan bergantung harap dan bergantung hidup mereka kepada UMNO.

     Pemimpin UMNO Kelantan dikatakan telah menyekat pembangunan Kelantan dengan menyekat kemasukan pelabur asing. Menidakkan pemberian royalti minyak kepada Kerajaan Pas Kelantan.Paling melukai hati rakyat Kelantan bila mana Tengku Razleigh tidak disokong oleh UMNO Kelantan untuk menjadi Presiden UMNO tetapi menyokong Dr Mahathir. Pemimpin UMNO Kelantan dianggap tidak memperjuangan kepentingan rakyat Kelantan tetapi lebih menjaga “periok nasi” mereka. Tidak hairan kenapa Kelantan tidak dapat membangun maju setanding lain-lain negeri di Malaysia. Kerajaan PAS Kelantan dikatakan oleh pemimpin UMNO Kelantan menjadi punca yang menyebabkan Kelantan menjadi negeri yang termiskin di Malaysia.

     Orang Kelantan menganggap pemimpin UMNO telah mengkianati perjuangan untuk membela nasib orang Melayu.UMNO dikatakan telah memperjuangkan kepentingan bukan Melayu dan mengabai nasib orang Melayu. Pemimpin hanya memperjuangan kepentingan kroni untuk mengekal kuasa politik.Orang Melayu dijadikan sebagai percaturan di pentas politik. Gaya hidup pemimpin UMNO bersifat sekular dengan gemar mempamer gaya hidup Ala Barat dan kelihatan pro Barat serta menolak Islam sebagai satu cara hidup. Pemimpin UMNO dikatakan suka menonjol kemewahan dan kurang membantu orang Melayu kecuali untuk kepentingan memancing undi semasa pilihan raya.

   Pada umumnya  Orang Melayu Kelantan sangat tidak berpuas hati kepada pemimpin UMNO Kelantan. Mereka berpura-pura menunjukkan sikap suka kepada pemimpin UMNO Kelantan. Sikap” talam dua muka” jelas bila berdepan dengan pemimpin UMNO yang sangat tidak disukai. Jika ingin mendapat bantuan dan sumbangan mereka bersikap “manis muka”. Selepas mendapat habuan itu mereka tidak pandang pun kebaikan pemimpin UMNO yang dianggap telah menganak tiri Negeri dan rakyat Kelantan. Mereka menganggap pemimpin UMNO tidak ikhlas membantu mereka. Mereka tidak berterima kasih kepada pemimpin UMNO meskipun mereka telah diberi bantuan kewangan dan projek kecil. Apa saja bantuan yang disalor oleh Kerajaan Persekutuan diterima sebagai rezeki daripada Allah.Mereka bersyukur kepada Allah tetapi tidak berterima kasih kepada pemimpin UMNO.

No comments:

Post a Comment